|
Bangunan dua tingkat ini merupakan bangunan tetap yang dibina oleh Kementerian Pendidikan Malaysia di bawah Projek Bank Dunia di atas tanah yang sama. Pada 28 Ogos 1979 bangunan ini telah siap dan mula digunakan di mana muridnya ketika itu ialah seramai 166 orang. Pada masa itu Guru Besarnya ialah bekas pelajar sekolah ini iaitu En. Mohd. Zain bin Jaafar dengan 8 orang guru penolong serta seorang kerani sambilan dan 2 orang pekerja am.
Bangunan dua tingkat ini telah dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, YAB Encik Ramli bin Ngah Talib PCM, AMN yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kampong Gajah pada 9 November 1983. Beliau juga merupakan seorang tokoh tempatan yang begitu mengambil berat tentang pembangunan pendidikan anak-anak luar bandar ketika itu..
Sehingga ke hari ini, sekolah ini telah melalui berbagai perubahan dan peningkatan dari semasa ke semasa selaras dengan pembangunan pendidikan. Berbagai kemudahan dan kelengkapan disediakan oleh kerajaan. Sungguhpun begitu dengan pembukaan Tanah Rancangan Seberang Perak dan Changkat Lada telah menyebabkan pengurangan bilangan pelajar sekolah ini dari setahun ke setahun sehingga menurun ke angka 32 orang pada tahun 1994 sehingga ke tahun 1999 dengan bilangan murid dalam lingkungan 30 - 40 orang. Pada masa itu bilangan guru sekolah ini hanya 4 orang termasuk Guru Besar.
Pada tahun 2000 bilangan murid mula bertambah semula kepada 49 orang dan pada tahun 2001 bilangan ini terus meningkat kepada 98 orang. Sungguhpun bilangan pelajar yang kurang namun pelajar-pelajar sekolah ini mampu belajar dengan penuh semangat di mana saban tahun semenjak tahun 1997 sekolah ini telah berjaya melahirkan beberapa orang pelajar cemerlang dalam Peperiksaan UPSR.
Penaikan taraf sekolah sentiasa diberi perhatian dan pada tahun 2000 pagar baru sekolah ini telah siap diganti kerana pagar lama tidak berfungsi langsung. Pada tahun 2001 pula semua pintu sekolah ini telah diganti dengan yang beru dan atap serta siling yang rosak juga telah diganti. Begitu juga dengan kantin sekolah juga telah dinaik taraf. Pada tahun 2001 juga pihak Jabatan telah meluluskan pendaiwaian semula bangunan sekolah ini dengan menggantikan semua lampu dan kipas angin yang baru.
Bangunan 3 bilik drajah termasuk kelas pra sekolah

Makmal Komputer
Memandangkan bilangan yang kian bertambah dan bilik kelas yang tidak mencukupi maka pada tahun 2002 sebuah bangunan yang mengandungi tiga bilik telah dibina. Bangunan tiga bilik ini telah digunakan, satu bilik yang telah diubahsuai kepada bilik darjah Prasekolah apabila kerajaan membuat perluasan memandangkan kawasan ini tidak ada kelas tadika sama ada diuruskan oleh kerajaan atau swasta. Pada tahun 2003 pula sebuah bangunan Makmal Komputer telah dibina. Pada tahun 2007 pula sebuah bilik telah dinaik taraf menjadi Kelas Pemulihan Khas. Keperihatinan kerajaan menaiktarafkan sekolah ini amat membanggakan kami warga sekolah ini.
|